SHAH ALAM, 5 OGOS: Polis sedang menyiasat kemungkinan hutang permainan kutu menjadi punca kehilangan tiga beranak yang dilaporkan gagal dikesan selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, setakat ini pihaknya menerima satu laporan polis terhadap wanita berkenaan daripada individu yang mendakwa terbabit dalam permainan kutu.
Menurutnya, usaha mengesan ketiga-tiga mereka masih diteruskan dan semakan pihak berkuasa tidak menemui sebarang rekod mereka meninggalkan negara.
"Siasatan masih diteruskan sebagai 'Orang Hilang' dan polis meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya ternampak mereka.
"Siasatan turut dijalankan dari segala sudut termasuk kemungkinan menjadi mangsa pelakuan jenayah atau kemalangan," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita bersama suami dan anak mereka dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam pada 20 Julai lalu sebelum gagal dihubungi.
Susulan kehilangan itu, bapa kepada wanita berusia 62 tahun membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas usaha mengesan anak perempuan, menantu dan cucunya tidak berhasil.




