SHAH ALAM, 4 OGOS: Seorang rakyat Malaysia antara 12 pemain yang cedera selepas petir menyambar padang Stadium Santiphap di Sungai Golok sejurus tamat perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala FA Golok, petang tadi.
Kejadian itu turut meragut nyawa seorang pemain bola sepak Thailand.
Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Polis Thun Sirikhunt berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan, sejurus tamat perlawanan separuh akhir antara SAMCOLTS dan Abu x Nong Sirin ketika hujan lebat melanda kawasan stadium.
"Insiden berkenaan mengakibatkan satu kematian dan 12 yang lain mengalami kecederaan.
"Pasukan polis segera ke lokasi kejadian untuk memeriksa mangsa yang cedera dan, bersama seorang doktor, menjalankan proses bedah siasat ke atas mangsa yang meninggal dunia," katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata pemain Malaysia yang cedera dikenali sebagai Mohammad Alif Ezzahan Zulkifli, yang beraksi bersama SAMCOLTS, sebuah pasukan gabungan pemain Thailand dan Malaysia.
Menurutnya, Kelantan FC merupakan pasukan dari Malaysia yang menyertai kejohanan itu, manakala mangsa lain yang terjejas turut membabitkan pemain daripada komuniti bola sepak tempatan.
Difahamkan, mangsa yang maut ialah pemain sayap Yala FC, Safwan Awe dari Thailand.
Thun berkata polis akan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan lanjut mengikut prosedur undang-undang.
"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk menerima rawatan," katanya.







