Ganjaran RM1.1 juta menanti pemenang pingat Sukan Komanwel

4 Ogos 2026, 3:11 PM
Ganjaran RM1.1 juta menanti pemenang pingat Sukan Komanwel

SEPANG, 4 OGOS: Kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebagai ganjaran kepada atlet kontinjen Malaysia yang berjaya meraih pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata peruntukan itu merupakan tanda penghargaan terhadap pengorbanan, komitmen serta kejayaan atlet yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Beliau berkata pemenang pingat emas akan menerima imbuhan sebanyak RM80,000, manakala tambahan RM10,000 diberikan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod temasya.

"Pingat perak pula menerima RM40,000, manakala pingat gangsa sebanyak RM20,000," katanya ketika berucap pada majlis sambutan kepulangan wira dan wirawati negara Glasgow 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Majlis Sukan Negara (MSN) kini sedang mengadakan perbincangan bagi meningkatkan kadar ganjaran SHAKAM menerusi penambahan dana daripada pihak korporat.

Malaysia menutup kempen di Glasgow dengan pencapaian melebihi sasaran apabila membawa pulang lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Mohammed Taufiq berkata strategi menetapkan sasaran berdasarkan warna pingat akan diteruskan pada temasya sukan akan datang, termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula 19 Sept selepas terbukti membuahkan hasil di Glasgow.

Beliau berkata pada awalnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan perbincangan serta membuat kajian, termasuk mendapatkan pandangan daripada persatuan sukan, jurulatih dan atlet bagi mengelak memberi tekanan kepada atlet.

Di sebalik pendekatan itu, katanya perkara berkenaan memberikan semangat baharu kepada atlet untuk terus mengejar pingat emas, malah menjadi langkah awal ke arah mencapai pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz berkata pingat emas sememangnya menjadi sasaran dalaman skuad boling padang, namun ia tidak ditetapkan sebagai sasaran rasmi bagi mengelakkan tekanan berlebihan terhadap atlet.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) berkata pencapaian skuad boling padang yang meraih dua pingat perak dan dua gangsa di Glasgow merupakan peningkatan berbanding edisi Birmingham 2022 yang menyaksikan pasukan negara membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Secara keseluruhan, beliau menzahirkan rasa syukur atas kejayaan kontinjen negara yang berjaya melepasi sasaran bagi setiap warna pingat hasil kerja keras atlet serta barisan kejurulatihan.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.