Sebelum secawan kopi terhidang dan dinikmati, terdapat perjalanan panjang yang bermula daripada sebutir biji kopi. Di sebuah kilang kopi tradisional, setiap proses penghasilan serbuk kopi dilakukan dengan penuh teliti menggunakan kaedah yang diwarisi turun-temurun, sekali gus mengekalkan keaslian rasa yang menjadi identiti perusahaan itu.
Bermula dengan buah kopi Liberica yang dipetik daripada pokok-pokok di sekitar kawasan kilang, biji kopi diproses melalui beberapa peringkat termasuk pengeringan, pengupasan, penyangaian, pengisaran dan pembungkusan. Setiap langkah memerlukan kemahiran serta kesabaran bagi memastikan aroma dan kualiti kopi terus terpelihara.
Kilang kopi Joo Fa Trading yang beroperasi sejak tahun 1964 menjadi antara pengusaha kopi tradisional yang masih mempertahankan kaedah pemprosesan warisan. Perniagaan yang diasaskan oleh generasi terdahulu itu kini diteruskan oleh anak pengasas, sekali gus memastikan legasi dan tradisi pembuatan kopi terus kekal relevan meskipun industri semakin moden.
Jurufoto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH merakam setiap proses penghasilan serbuk kopi di Kilang Kopi Joo Fa Trading pada 21 Julai 2026, memperlihatkan dedikasi dan ketelitian di sebalik setiap secawan kopi yang dinikmati.
Li Shan menunjukkan pokok kopi Liberica yang ditanam di sekitar kawasan kilang, menjadi sumber utama biji kopi dan titik permulaan proses penghasilan serbuk kopi secara tradisional.
Kayu-kayu kering dimasukkan ke dalam relau oleh Lim Seng Peng bagi menghidupkan api yang menjadi nadi kepada proses menyangai biji kopi. Kaedah warisan ini terus dipelihara kerana dipercayai mampu menghasilkan aroma kopi yang lebih asli dan konsisten.
Biji kopi dipanaskan menggunakan api pada suhu yang sesuai sehingga kulit nipisnya tertanggal. Proses ini merupakan antara langkah penting bagi memastikan biji kopi bersedia untuk diproses menjadi serbuk kopi berkualiti.
Planta ditambah ke dalam biji kopi yang sedang dimasak bagi menghasilkan permukaan biji kopi yang lebih berkilat serta membantu membentuk aroma dan rasa yang tersendiri.
Gula ditambah ke dalam campuran kopi sebelum melalui proses karamelisasi bagi menghasilkan warna, aroma dan rasa yang tersendiri.
Biji kopi yang telah selesai dimasak dibiarkan sejuk terlebih dahulu sebelum melalui proses pengisaran bagi menghasilkan serbuk kopi.
Selepas selesai proses memasak, biji kopi dibiarkan sejuk secara semula jadi bagi memastikan ia berada pada suhu yang sesuai sebelum diproses menjadi serbuk kopi.
Biji kopi dikisar sehingga halus sebelum menjadi serbuk kopi yang sedia untuk dibungkus dan dipasarkan kepada pengguna.
Proses pengisaran mengubah biji kopi yang telah disangai menjadi serbuk kopi halus. Pada peringkat inilah aroma kopi mula menyerlah sebelum dibungkus untuk dipasarkan.
Serbuk kopi yang telah siap diproses dibungkus dan disusun untuk dipasarkan, melengkapkan keseluruhan proses penghasilan kopi daripada sebutir biji kepada produk sedia untuk dinikmati.
Pemilik Joo Fa Trading, Lim Seng Peng (kiri) menunjukkan serbuk kopi yang siap diproses dan sedia untuk dipasarkan, meneruskan legasi penghasilan kopi tradisional yang diwarisi sejak tahun 1964.