KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah dan racun seberat 150,106 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1.85 bilion menerusi 622 operasi di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi itu turut menumpaskan 155 sindiket pengedaran dadah melibatkan 441 tangkapan.
Beliau berkata bagi tempoh sama tahun lepas, sebanyak 178 sindiket pengedaran dadah ditumpaskan dengan jumlah tangkapan yang sama, manakala rampasan dadah dan racun membabitkan 123,996 kg bernilai RM1.77 bilion.
“Statistik rampasan ini bukan sahaja mencerminkan besarnya ancaman dadah yang kita hadapi tetapi juga membuktikan ketegasan polis dalam mematahkan setiap cubaan menyeludup, mengedar dan menyalahgunakan dadah di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata menerusi hasil risikan, sembilan makmal dadah haram berjaya diserbu dengan 18 individu ditahan.
Beliau berkata pihaknya turut menyita aset sindiket bernilai RM79.2 juta manakala RM10.84 juta lagi telah dilucut hak bagi memastikan hasil kegiatan haram tidak digunakan semula untuk memperkukuh rangkaian mereka.
“Bagi tempoh sama, sebanyak 503 individu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, berbanding 308 individu tahun lepas.
“Selain itu, tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 turut diambil terhadap 4,427 penagih berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata JSJN akan melaksanakan transformasi menyeluruh daripada pendekatan operasi bersifat taktikal dan reaktif kepada pembanterasan jenayah narkotik yang lebih strategik berasaskan risikan, data dan teknologi.
Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada pengawalan bahan prekursor dan rantaian bekalan, pelucuthakan aset sindiket, pengukuhan forensik kewangan digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi meningkatkan keupayaan operasi.
"JSJN turut memperkukuh kerjasama antara agensi, menambah baik prosedur operasi standard dan perundangan serta menerapkan tadbir urus berasaskan keberhasilan.
“Pelaksanaan secara berfasa ini bertujuan memastikan setiap operasi bukan sekadar menghasilkan tangkapan dan rampasan, tetapi benar-benar melumpuhkan kewangan, rangkaian dan keupayaan sindiket,” katanya.
-- BERNAMA







