KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM12,000 terhadap seorang pekerja sambilan bidang kreatif selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik yang menghina Islam, tiga tahun lepas.
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad juga memerintahkan Yeo Li Yin, 48, menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi Twitter (kini dikenali sebagai X) dengan nama profil “Liyin Yeo” pada 19 Jun 2023.
Hantaran itu dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini pada 2.15 petang 22 Jun 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan hendaklah didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Yeo dan orang awam agar tidak melakukan perkara yang menggugat ketenteraman awam.
Bagaimanapun, peguam Mohd Ruzaini Zulkifli memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya telah insaf dan kesal dengan perbuatan itu serta perlu menjaga ibu bapanya.
“Anak guam saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan menutup akaun itu,” katanya.







