SHAH ALAM, 30 JULAI: Pembantu kedai makan kerugian RM170,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram.
Mangsa wanita berusia 51 tahun itu menerima panggilan daripada suspek pada jam 10.24 pagi, 8 Julai lalu sebelum dituduh terlibat dalam aktiviti haram berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, suspek kemudian memperdayakan mangsa dengan mendakwa sejumlah bayaran perlu dibuat bagi tujuan siasatan.
Menurutnya, mangsa yang mempercayai dakwaan itu bertindak melakukan beberapa transaksi wang seperti diarahkan suspek.
"Disebabkan percaya dengan dakwaan suspek, mangsa melakukan 11 transaksi ke dalam lapan akaun berbeza disyaki akaun 'mule' seperti mana diarahkannya," katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Roslan berkata, mangsa bagaimanapun mula menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak semalam.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM170,000.
Katanya, siasatan kes masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.







