Laporan RCI TH syor audit forensik 14 pelaburan bermasalah

29 Jul 2026, 3:36 PM
Laporan RCI TH syor audit forensik 14 pelaburan bermasalah

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik disenaraikan.

RCI mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

Pelaburan itu ialah PT TH Indo Plantations; Emrail Sdn Bhd; Wellspring Worldwide Limited; Deru Semangat Sdn Bhd; Trurich Resources Sdn Bhd; Abraj Sdn Bhd; Putrajaya Perdana Bhd; Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd dan Alfareeda Residential Fund.

TH Plantations Bhd; TH Properties Sdn Bhd; Alam Maritim Resources/TH Marine; TH Hotel & Residences Sdn Bhd dan FGV Bhd juga disenaraikan sebagai pelaburan yang memerlukan audit forensik.

Laporan RCI tersebut telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Ogos, 2022, oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya RCI yang diketuai Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

Menurut RCI, pihak-pihak berkuasa wajib mengambil tindakan yang tegas dan segera ke atas setiap laporan polis atau aduan yang dibuat berkaitan dengan sebarang salah laku di TH.

Proses penyempurnaan tindakan tatatertib di TH yang meliputi durasi penahanan kerja perlulah diperkemas dan disegerakan agar proses berkenaan dilihat dan diyakini sebagai suatu proses yang berkesan, cekap, adil dan telus, tambah RCI.

"Transaksi-transaksi pelaburan yang masih dalam pertikaian di mahkamah atau di prosiding timbang tara perlu dipantau secara dekat oleh pengurusan dan lembaga bagi memastikan semua proses berjalan dengan lancar dan menghasilkan keputusan yang terbaik kepada TH.

"Penyelesaian di luar proses mahkamah dan timbang tara harus dipertingkatkan agar pertikaian dapat diselesaikan dengan segera tanpa merencatkan kepentingan TH," jelasnya.

Menurut RCI, fungsi pelaburan TH yang meliputi pengurusan pelaburan dan agihan keuntungan hendaklah dijalankan dengan bebas dan profesional.

"Kedua-dua fungsi, iaitu pengurusan dana dan pengurusan haji perlu berada dalam entiti yang sama kerana terdapat unsur-unsur subsidi silang seperti yang diamalkan sekarang," menurutnya.

Menurut RCI, fungsi pengurusan pelaburan dikekalkan dalam TH sebagai sebuah jabatan yang boleh dinamakan sebagai Dana Haji, yang bertanggungjawab kepada pelaburan TH dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

TH perlu memfokuskan kepada portfolio pengurusan dana dan tidak seharusnya terlibat dengan pelaburan berisiko tinggi khususnya pelaburan-pelaburan yang diklasifikasikan sebagai strategik oleh institusi tersebut, tambah RCI.

Sementara itu, RCI turut menggalakkan supaya Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) membuat penebusan awal sukuk hasil daripada pelupusan aset-aset yang telah dipindahkan dari TH kepada UJSB.

"Aset-aset TH telah dipindahkan kepada UJSB pada nilai RM19.9 bilion (berbanding nilai pasaran ketika itu sebanyak RM9.7 bilion, atau pada nilai premium sebanyak RM10.2 bilion kepada nilai pasaran).

“Sebagai pertimbangan kepada pemindahan aset-aset tersebut, UJSB telah menerbitkan Sukuk Murabahah (Sukuk) berkupon sifar yang dilanggan sepenuhnya oleh TH,” jelas RCI.

Penerbitan sukuk itu meliputi Sukuk Siri 1 berjumlah RM10 bilion, Sukuk Siri 2 berjumlah RM9.6 bilion dan pembayaran tunai RM300 juta, tambah RCI.

Selain itu, hasil pengakruan Sukuk UJSB juga menyumbang hampir 26 peratus kepada keseluruhan pendapatan tahunan TH.

Malah ia melebihi satu pertiga daripada jumlah pengagihan keuntungan tahunan kepada pendeposit.

Menurut RCI, terdapat usaha yang dirancang agar sukuk yang diterbitkan oleh UJSB distrukturkan semula dan dicadangkan supaya sukuk yang hendak diterbitkan semula itu mempunyai jaminan kerajaan.

"Kegagalan atau kekangan dalam melunaskan obligasi UJSB merupakan risiko terbesar TH dan boleh meruncingkan kedudukan kewangan TH pada masa hadapan serta membawa ekosistem kewangan negara kepada krisis kewangan yang lebih besar.

"Kerajaan hendaklah memberi perhatian yang serius dengan memastikan peruntukan sebanyak RM1.73 bilion setahun dibuat seperti yang dipersetujui Jemaah Menteri bagi tujuan penebusan awal Sukuk-sukuk UJSB," menurut RCI.

Suruhanjaya dimaklumkan bahawa UJSB sedang mengadakan perbincangan bersama MOF untuk mendapatkan pertimbangan mengenai jaminan kerajaan dan juga telah memulakan rundingan dengan TH mengenai terma-terma Sukuk Jaminan Kerajaan yang baharu.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.