Harga RON97, RON95 tanpa subsidi naik 20 sen mulai esok

29 Jul 2026, 11:26 AM
Harga RON97, RON95 tanpa subsidi naik 20 sen mulai esok

SHAH ALAM, 29 JULAI: Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos 2026, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi kenyataan hari ini, MoF memaklumkan harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.40 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.82 seliter dan diesel tanpa subsidi RM4.62 seliter, berkuat kuasa mulai esok, lapor Sinar Harian.

Menurut kementerian itu, kenaikan harga berkenaan dipengaruhi pergerakan pasaran minyak dunia apabila harga minyak mentah Brent meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam minggu, iaitu AS$96 setong.

MoF berkata ketegangan di laluan perdagangan utama termasuk Selat Hormuz dan Laut Merah turut meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.

"Selagi konflik tersebut belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, kementerian memaklumkan simpanan kecemasan petroleum beberapa ekonomi utama semakin menyusut susulan konflik di Asia Barat, sekali gus berpotensi meningkatkan tekanan terhadap harga petroleum sekiranya gangguan bekalan berterusan.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan subsidi bersasar akan diteruskan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga kepada rakyat serta perniagaan.

Harga bahan api bersubsidi turut dikekalkan iaitu RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Rakyat yang layak masih boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada syarat kelayakan dan baki kuota bulanan masing-masing.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.