Ramai memasang impian untuk menurunkan berat badan dalam tempoh singkat, namun tidak kurang juga akhirnya kembali kepada berat asal selepas gagal mengekalkan diet yang diamalkan.
Keinginan melihat perubahan pantas sering mendorong individu mencuba pelbagai kaedah ekstrem tanpa memikirkan kesannya terhadap kesihatan.
Hakikatnya, proses menurunkan berat badan bukanlah perlumbaan. Apa yang lebih penting ialah membina tabiat pemakanan yang mampu diamalkan secara konsisten sehingga menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mencapai berat badan yang lebih sihat, malah mengurangkan risiko kesan sampingan akibat perubahan pemakanan secara mendadak seperti kehilangan jisim otot, metabolisme yang semakin perlahan dan tekanan emosi.
Menurut Ahli Dietetik Penyelidikan, Dr Siti Munirah Abdul Basir, perubahan kecil yang dilakukan secara berperingkat jauh lebih selamat dan berkesan berbanding diet ekstrem yang menjanjikan penurunan berat badan dalam masa singkat.
“Diet perlahan tetapi konsisten merujuk kepada perubahan kecil dalam pemakanan yang dibuat secara berperingkat tanpa paksaan melampau terhadap tubuh,” katanya kepada Media Selangor.

Kesilapan yang sering dilakukan adalah mengubah keseluruhan corak pemakanan dalam satu masa sehingga sukar dikekalkan.
Sebaliknya, individu disaran memberi tumpuan kepada satu perubahan terlebih dahulu sebelum beralih kepada perubahan lain.
Langkah mudah seperti mengurangkan kekerapan makan, mengecilkan saiz hidangan dan mengawal pengambilan karbohidrat secara berperingkat sudah memadai untuk memulakan perjalanan ke arah berat badan yang lebih sihat.
Sebagai contoh, pengambilan nasi boleh dikurangkan daripada satu pinggan kepada separuh pinggan sebelum beralih kepada suku pinggan mengikut konsep Pinggan Sihat Malaysia.
Pendekatan tersebut lebih mudah diterima oleh tubuh berbanding diet yang terlalu ketat sehingga menghapuskan terus kumpulan makanan tertentu.
Menurut Dr Siti Munirah, diet ekstrem sering mewujudkan kitaran tidak sihat apabila seseorang terlalu mengawal pemakanan sehingga akhirnya gagal menahan keinginan untuk makan secara berlebihan.
“Perubahan yang terlalu drastik biasanya tidak bertahan lama dan cenderung menyebabkan individu kembali kepada tabiat pemakanan lama,” katanya.
Selain sukar dikekalkan, diet terlalu ketat juga boleh menyebabkan badan kehilangan jisim otot apabila sumber tenaga mula diambil daripada otot.
Keadaan itu menyebabkan kadar metabolisme menurun, sekali gus menjadikan proses penurunan berat badan lebih sukar dalam jangka panjang.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa nasi merupakan punca utama seseorang mengalami kegemukan.
“Pengambilan nasi dalam sukatan yang betul tidak mendatangkan masalah, sebaliknya makanan terproses dan makanan segera yang tinggi kandungan lemak serta gula lebih membimbangkan dari segi nutrisi.
“Nasi bukan musuh jika diambil mengikut kuantiti yang betul, tetapi makanan segera dan makanan terproses memberi kesan lebih besar terhadap peningkatan berat badan,” katanya lagi.
Bagi mereka yang sibuk bekerja atau menguruskan keluarga, perancangan makanan atau meal prep turut disarankan sebagai salah satu cara mengekalkan disiplin pemakanan.
Penyediaan menu mingguan dan pembekuan lauk lebih awal dapat mengurangkan kebergantungan kepada makanan segera apabila kesuntukan masa.
Dalam usaha menurunkan berat badan, faktor psikologi juga tidak boleh dipandang ringan. Ramai yang mudah berputus asa kerana mengamalkan pemikiran ‘all or nothing’ - menganggap satu kesilapan kecil sebagai kegagalan keseluruhan diet.
Hakikatnya, penurunan berat badan yang berjaya bukan diukur berdasarkan seberapa pantas angka pada penimbang berubah, tetapi sejauh mana perubahan gaya hidup itu mampu dikekalkan tanpa menjejaskan kesihatan.
“Pendekatan perlahan tetapi konsisten ini membantu membentuk gaya hidup sihat yang boleh dikekalkan untuk jangka panjang,” katanya.





