Kerajaan Negeri sedia intervensi bantu pekerja Panasonic terjejas

29 Jul 2026, 9:17 AM
Kerajaan Negeri sedia intervensi bantu pekerja Panasonic terjejas

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai nasib kira-kira 400 pekerja Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. susulan penutupan operasi pengeluaran televisyen oleh Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata maklumat itu akan diperoleh menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor bagi memastikan kebajikan pekerja yang terjejas terus diberi perhatian.

“Kita akan melihat bagaimana intervensi boleh dilakukan…nanti kita juga akan membantu intervensi terhadap 400 lebih ini adakah mereka boleh disalurkan di kilang pembuatan lain atau pun di tempat-tempat lain.

“Ini termasuk usaha mungkin memberikan latihan kalau mereka perlukan dan program keusahawanan. Insya-Allah kita akan intervensi dan akan dapatkan maklumat daripada Jabatan Pekerjaan ataupun Jabatan Buruh Negeri Selangor,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Bantuan Baucar Jom Shopping Sempena Hari Pahlawan Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut mempelawa semua pekerja terkesan hadir ke Karnival Jelajah JobCare Selangor yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Kita ada job fair, disana ada tawaran… kita alu-alukan tetapi nanti kita akan semak kepada keperluan mereka. Mungkin ada sebahagian telah berusaha ke arah itu dan mereka hendak terlibat dalam bidang yang lain,” katanya.

Sebelum ini, Panasonic menerusi kenyataan memaklumkan akan menutup operasi pengeluaran TV oleh PAVCKM bermula September ini.

Menurut Panasonic, penutupan PAVCKM itu akan memberi kesan kepada 400 pekerjanya pada akhir Mac selepas syarikat tersebut turut akan menghentikan pengeluaran audio Technics-branded Hi-Fi pada akhir Februari tahun depan.

Bagaimanapun, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (EIWU) bagi memastikan pekerja terjejas diberikan sokongan termasuk bantuan pertukaran penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.