Indeks harga pengeluar naik 9.2 peratus pada Jun, tertinggi setakat tahun ini

28 Jul 2026, 5:42 AM
Indeks harga pengeluar naik 9.2 peratus pada Jun, tertinggi setakat tahun ini

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Indeks harga pengeluar (IHPR) Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 9.2 peratus pada Jun 2026 daripada 7.8 peratus pada bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan bulanan terkini IHPR pengeluaran tempatan Jun 2026, DOSM memaklumkan peningkatan berkenaan merupakan yang tertinggi direkodkan setakat tahun ini.

"Prestasi mengikut sektor pada Jun 2026 iaItu seperti bulan sebelumnya, semua sektor mencatatkan peningkatan.

"Sektor perlombongan merekodkan peningkatan 29.0 peratus daripada 52.6 peratus pada Mei 2026. Peningkatan dua digit ini dipacu oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah yang meningkat sebanyak 40.7 peratus," jelasnya.

DOSM menyatakan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menokok 9.1 peratus daripada 8.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Peningkatan ini disokong oleh indeks perikanan iaitu peningkatan sebanyak 12.5 peratus dan penanaman tanaman kekal sebanyak 10.8 peratus.

Pada masa yang sama, sektor pembuatan menokok sebanyak 7.2 peratus daripada 3.5 peratus pada Mei 2026 terutamanya disumbangkan oleh indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (30.1 peratus) serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal berkembang sebanyak 8.3 peratus.

Sementara itu, sektor bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.2 peratus.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.