SHAH ALAM, 27 JULAI: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap 12 pegawai dan anggota polis yang disyaki memeras ugut seorang warga asing membabitkan tuntutan RM2 juta.
Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Aida Abdul Hamid berkata siasatan tatatertib itu dijalankan serentak dengan siasatan jenayah oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), lapor Berita Harian.
Beliau berkata siasatan memberi tumpuan kepada aspek integriti bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran tatakelakuan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Selain itu, katanya, JIPS turut menyiasat sama ada wujud kelemahan penyeliaan, penyalahgunaan kuasa, pelanggaran etika atau salah laku yang boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Siasatan JIPS memberi tumpuan terhadap aspek integriti sekiranya wujud pelanggaran tatakelakuan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.
Beliau berkata keputusan sama ada pegawai dan anggota terbabit akan ditahan kerja bergantung kepada hasil siasatan JSJ dan JIPS serta peruntukan peraturan yang berkuat kuasa.
Semalam, media melaporkan polis menyiasat 12 pegawai dan anggota yang didakwa memeras ugut seorang warga asing sebanyak RM2 juta.
Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sekali gus mencetuskan siasatan dalaman terhadap kumpulan terbabit.
Menurut sumber, suspek dipercayai menuntut RM2 juta daripada mangsa, namun mangsa hanya mampu membayar sebahagian daripada jumlah itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan kes berkenaan sedang disiasat.







