Komuniti Hijau Sabak Bernam diperluas ke semua jabatan tahun depan

26 Jul 2026, 2:00 AM
Komuniti Hijau Sabak Bernam diperluas ke semua jabatan tahun depan

SABAK BERNAM, 26 JULAI: Program Komuniti Hijau Sabak Bernam akan diperluaskan ke semua jabatan di daerah itu mulai tahun depan bagi memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berkata inisiatif itu membabitkan semua jabatan termasuk sektor pendidikan, kesihatan, penerangan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya agenda komuniti hijau dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Mulai tahun hadapan kita akan panjangkan aktiviti ini ke semua jabatan dalam daerah. Kita mahu semua jabatan, termasuk penerangan, pendidikan, kesihatan dan majlis, bergerak bersama dengan semangat komuniti hijau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 serta Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Daerah Sabak Bernam di Dataran Tonggak 10, semalam.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berucap sempena majlis penutup Program Komuniti Hijau Sabak Bernam di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar, Sabak Bernam pada 25 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Ali Sadikin berkata usaha itu penting kerana Sabak Bernam memiliki kekayaan sumber semula jadi yang perlu dipelihara, dengan hampir 40 peratus keluasan daerah terdiri daripada Hutan Simpan Kuala Bernam, selain 34 peratus kawasan pertanian dan 12 peratus sawah padi.

Katanya, daerah itu juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan, khususnya di Bagan Nakhoda Omar yang menjadi lokasi persinggahan kira-kira 36,000 burung hijrah daripada 34 spesies setiap tahun, termasuk 11 spesies terancam.

"Kita perlu menyusun strategi supaya pembangunan pelancongan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan ekosistem," katanya.

Program bertemakan Transformasi Hijau Pendidikan Bersama Komuniti itu berlangsung sejak 1 Mac dengan pelbagai pengisian termasuk Green Healthy Fun Run, Green Explorace, Green Mind Challenge, pertandingan inovasi, saringan kesihatan, pengumpulan sisa elektronik (e-waste), minyak masak terpakai serta program pendidikan alam sekitar yang melibatkan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin serta tetamu jemputan memegang Jalur Gemilang sempena Program Komuniti Hijau Sabak Bernam di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar, Sabak Bernam pada 25 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Majlis itu turut menyaksikan peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Daerah Sabak Bernam 2026, termasuk seruan menjayakan inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.