Jadikan tapak sejarah ruang pendidikan, bukan sekadar tarikan pelancong

25 Jul 2026, 1:30 PM
Jadikan tapak sejarah ruang pendidikan, bukan sekadar tarikan pelancong

GEORGE TOWN, 25 JULAI: Tapak sejarah perlu berfungsi sebagai ruang pendidikan untuk membantu generasi muda memahami nilai perpaduan, harga sebuah kemerdekaan serta penderitaan rakyat ketika negara dijajah, bukan sekadar menjadi tarikan pelancongan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan ke tapak bersejarah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada keindahan fizikalnya, sebaliknya perlu disertai penerangan yang mampu memberi kefahaman mengenai sejarah dan membentuk kesedaran terhadap masa depan negara.

“Saya syorkan kalau boleh, pastikan dalam setiap lawatan anak-anak muda ke kawasan ini, mereka didedahkan bukan sahaja kepada keindahannya, tetapi juga pengajaran mengenai harga perpaduan dan harga sebuah negara yang bebas serta merdeka,” kata Anwar berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Fort Cornwallis, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata sejarah perlu diceritakan berdasarkan pengalaman, pengorbanan dan penderitaan rakyat, bukan semata-mata menerusi perspektif atau naratif yang ditinggalkan bekas penjajah.

Beliau berkata pemuliharaan Fort Cornwallis bukan bertujuan mengagungkan penjajahan, sebaliknya memberi peluang kepada masyarakat menelusuri sejarah pahit negara serta mengambil iktibar daripadanya.

“Kita boleh menghidupkan semula memori ini dan menggunakannya untuk menanam kefahaman serta mendedahkan generasi muda kepada sejarah kita sendiri.

“Kita perlu membina semula sejarah itu, bukan berdasarkan telunjuk bekas penjajah, tetapi supaya ia relevan kepada masyarakat dan masa depan kita,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata sejarah penjajahan, mengajar rakyat bahawa tanpa perpaduan dan kekuatan dalaman, nasib sesebuah negara boleh ditentukan oleh kuasa luar yang lebih mengutamakan kepentingan strategik mereka.

Justeru, beliau berkata generasi kini mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan keamanan negara, memperkukuh perpaduan antara kaum serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.