Hampir RM55 juta disalur perkasa sektor pertanian, penternakan Selangor

25 Jul 2026, 1:00 PM
Hampir RM55 juta disalur perkasa sektor pertanian, penternakan Selangor
Hampir RM55 juta disalur perkasa sektor pertanian, penternakan Selangor

KUALA LANGAT, 25 JULAI: Selangor memperuntukkan kira-kira RM25 juta tahun ini bagi merancakkan sektor pertanian dan penternakan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan serta sokongan kepada usahawan agro.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato' Ir Izham Hashim berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menyalurkan kira-kira RM30 juta setahun bagi membantu usahawan tani di negeri ini.

Menurutnya, peruntukan berkenaan dimanfaatkan untuk penyediaan infrastruktur, teknologi moden, benih, baka serta pelbagai program pembangunan bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan penternakan.

"Daripada kerajaan negeri, kita memperuntukkan kira-kira RM25 juta. Sejak tiga tahun kebelakangan ini pula, setiap tahun kita menerima sekitar RM30 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk diagihkan kepada usahawan bagi tujuan pembangunan.

"Apabila digabungkan peruntukan kerajaan negeri dan Persekutuan, hampir RM50 juta hingga RM55 juta setahun disalurkan terus kepada usahawan. Sebab itu kita dapat melihat pembangunan sektor pertanian dan penternakan di Selangor semakin rancak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Pusat Teknologi Melon Selangor sempena Festival Melon dan Agro Green Selangor 2026 di sini, hari ini.

Izham berkata, Selangor mengamalkan pendekatan membangunkan keseluruhan ekosistem pertanian, bermula daripada penghasilan benih dan baka sehingga ke peringkat pengeluaran bagi memastikan industri lebih mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan khususnya bagi komoditi bernilai tinggi dengan memastikan bekalan benih dan baka berkualiti dapat dihasilkan sendiri sebelum diagihkan kepada petani dan penternak.

"Kalau kita mahu membangunkan sesuatu komoditi bernilai tinggi, kita perlu melihat keseluruhan ekosistemnya. Bermula dengan benih, jika tiada kita hasilkan sendiri. Begitu juga baka bagi sektor penternakan.

"Selepas itu kita bantu dari segi penanaman sebelum diagihkan kepada petani dan penternak. Jika kita terus bergantung kepada pihak lain, sampai bila-bila kita akan berdepan masalah bekalan benih dan sebagainya," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.