SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri menggalakkan rakyat mengutamakan pembelian dan pengambilan buah-buahan tempatan sebagai usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap import buah-buahan dan sayur-sayuran yang dianggarkan mencecah RM7.5 bilion setahun.
EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim berkata langkah itu bukan sahaja dapat meningkatkan permintaan terhadap hasil pertanian tempatan, tetapi juga menyokong pendapatan keluarga tani dan usahawan agro di negeri itu.
"Program seumpama Pesta Buah-Buahan Selangor 2026 menjadi platform tahunan penting dalam mempromosikan hasil pertanian berkualiti tinggi kepada masyarakat awam, bukan sahaja kerana ia berkhasiat dan segar tetapi kita mahu meminimumkan atau mengurangkan kebergantungan kepada import.
"Import negara mencecah RM7.5 bilion setahun. Jika kita boleh mulakan langkah seperti menggantikan fruit basket (bakul buah) dengan buah tempatan, ia sangat membantu mengukuhkan penjualan usahawan kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Buah-Buahan Selangor 2026 yang turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zabidah Safar di Aneka Walk di sini hari ini.

Pesta tahunan yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad itu dianjurkan menerusi kerjasama Jawatankuasa Pertanian Gabungan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
"Sepanjang tiga hari penganjuran bermula 10 pagi hingga 10 malam, kita menyasarkan nilai jualan kira-kira RM250,000 menerusi pelbagai aktiviti dan jualan terus daripada usahawan yang mengambil bahagian.
"Kita turut menyediakan kira-kira 40 tan buah-buahan tempatan merangkumi 15 jenis buah seperti durian, manggis, rambutan, nanas dan jambu untuk dipasarkan kepada pengunjung," katanya.
Mengenai fenomena cuaca panas dan gangguan pasaran, Izham berkata pihaknya sentiasa proaktif dalam memantau sumber air merangkumi sungai dan empangan bagi memastikan aktiviti pertanian tidak terjejas dengan fenomeno El Nino.
Beliau berkata Selangor telah menggunakan air simpanan menerusi projek Skim Jaminan Air Rawang (SJAR) bagi menyalurkan semula air sungai demi kegunaan sawah dan pertanian, meskipun terdapat sedikit penurunan paras air sungai beberapa bulan lepas yang berisiko meningkatkan kadar amonia.
"Paras air di tujuh empangan utama di Selangor berada pada tahap yang sangat baik iaitu melebihi 85 hingga 90 peratus, sekali gus menjamin bekalan air yang mencukupi bagi sektor pertanian," katanya.










