SHAH ALAM, 24 JULAI: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta hampir keseluruhan anggota badan akibat impak jatuh dari tempat tinggi.
"Tiada sebarang unsur jenayah dikesan di dalam kejadian ini. Susulan itu satu Laporan Mati Mengejut (LMM) dibuka," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mangsa merupakan warga tempatan yang tinggal di Lebuh Macallum.
"Hasil siasatan di lokasi mendapati mangsa dipercayai jatuh dari aras tinggi sebelum mayatnya ditemukan berpakaian lengkap di atas bumbung aras enam bangunan itu," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 4.17 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi.
Ketua Zon 1 JBPM Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata, operasi khas dijalankan bagi mengeluarkan mangsa menggunakan tali dan pengusung berikutan kedudukan mayat di bumbung bangunan.
Katanya, pihak bomba turut menemukan tiket masuk ke sebuah taman tema dalaman, manakala mangsa masih memakai pas masuk ke taman tema itu pada pergelangan tangannya ketika mayat ditemukan.
Operasi turut berdepan kesukaran kerana permukaan bumbung licin akibat hujan sebelum mayat mangsa berjaya dibawa turun dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.





