Piala ASEAN 2026: Harimau Malaya sedia gempur Myanmar

24 Jul 2026, 12:39 PM
Piala ASEAN 2026: Harimau Malaya sedia gempur Myanmar

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Ketua jurulatih interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah kemampuan Myanmar menjelang aksi pembukaan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Thuwunna, Yangon, esok.

Beliau berkata Myanmar yang kini dibimbing ketua jurulatih baharu Jorn Andersen, memiliki corak permainan berbahaya terutama menerusi transisi pantas dan tidak boleh dipandang mudah, meskipun skuad negara telah membuat persiapan rapi.

"Kita perlu menghormati Myanmar. Kami tahu Myanmar juga mempunyai jurulatih baharu dengan semangat berpasukan yang baik, pasukan yang bekerja keras dan corak permainan transisi pantas yang sangat baik.

"Kita perlu fokus kepada corak permainan sendiri. Kita tidak boleh terlalu kerap kehilangan bola kerana kami tahu serangan balas Myanmar sangat pantas dan berbahaya," katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Selepas menganalisis aksi terbaharu Myanmar menentang Vietnam, Cheng Hoe menjangkakan perlawanan yang mencabar dari aspek fizikal, namun yakin anak buahnya mampu menyerap tekanan termasuk ketika beraksi di hadapan penyokong tuan rumah yang dijangka memenuhi stadium.

Sementara itu, pemain naturalisasi Paulo Josue mengakui beliau dan rakan sepasukan bakal berdepan cabaran getir ketika menentang Myanmar, namun bertekad memulakan kempen dengan kemenangan di gelanggang lawan.

Penyerang itu berkata suasana positif dalam kem serta keserasian yang semakin kukuh dalam kalangan pemain, selain pemahaman yang baik terhadap arahan jurulatih, telah meningkatkan keyakinan pasukan menjelang aksi pembukaan kejohanan.

Selepas berdepan Myanmar, skuad Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan kedua menentang Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 28 Julai ini, diikuti aksi menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 1 Ogos, sebelum melengkapkan saingan Kumpulan B dengan menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.

-- BERNAMA

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.