Polis tahan suspek cubaan samun van keselamatan, rampas senjata api

23 Jul 2026, 2:10 PM
Polis tahan suspek cubaan samun van keselamatan, rampas senjata api

SHAH ALAM, 23 JULAI: Polis berjaya menyelesaikan kes cubaan samun van keselamatan yang membawa wang tunai dengan penahanan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di Shah Alam, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata suspek berusia lingkungan 20-an ditahan pada jam 11 pagi dalam operasi khas yang digerakkan Bahagian D9 JSJ Bukit Aman.

Beliau berkata polis turut merampas semula selaras senjata api jenis pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore yang dilarikan suspek.

"Turut dirampas ialah sepucuk pistol pelepas olahraga (starter pistol) jenama Ekol Lite bersama 48 butir peluru jenis blank.

"Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah di mahkamah esok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata dan cuba menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menonjolkan senjata api ketika melakukan kesalahan berjadual iaitu rompakan.

Beliau berkata PDRM menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan serta memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.

Pada 20 Julai lalu, media melaporkan seorang suspek cuba merompak sebuah van keselamatan sebelum merampas selaras senjata api milik pengawal keselamatan dan melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.