Aaron-Wooi Yik dipisahkan, BAM pertaruh Aaron-Kai Wun di Sukan Asia

23 Jul 2026, 9:26 AM
Aaron-Wooi Yik dipisahkan, BAM pertaruh Aaron-Kai Wun di Sukan Asia

SHAH ALAM, 23 JULAI: Keputusan memisahkan beregu lelaki nombor tiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 disifatkan sebagai langkah besar oleh barisan kejurulatihan beregu kebangsaan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata keputusan menggandingkan Aaron bersama Tee Kai Wun dibuat selepas perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei; Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh serta Ketua Jurulatih Beregu Lelaki, Herry Iman Pierngadi, lapor Berita Harian.

Beliau berkata barisan kejurulatihan perlu membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira prestasi semasa pemain serta kombinasi paling sesuai bagi membantu Malaysia memburu pingat pada temasya berkenaan.

“Memang satu keputusan besar untuk memisahkan Aaron-Wooi Yik bagi Sukan Asia.

“Kita memilih dan memutuskan Aaron-Kai Wun dalam mesyuarat pasukan bersama Datuk Seri (Lee Chong Wei), Datuk Kenny, saya dan Herry,” katanya.

Ini merupakan kali pertama Aaron-Wooi Yik yang juga bekas juara dunia dipisahkan untuk menghadapi temasya sukan sejak bergandingan pada 2017.

Sepanjang bersama, pasangan itu mencipta pelbagai kejayaan termasuk meraih dua pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, gangsa Sukan Asia 2022, gangsa Sukan Komanwel 2022 serta emas Sukan SEA 2019 dan perak Sukan SEA 2025.

Sebelum ini, BAM mengumumkan Wooi Yik tidak disenaraikan dalam skuad badminton negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya, manakala Aaron digandingkan bersama Kai Wun.

Gandingan asal Kai Wun bersama Man Wei Chong turut tidak berada dalam senarai akhir skuad selepas tahap kecergasan pemain itu masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Rexy menjelaskan prestasi semasa pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut menjadi faktor mereka dikekalkan sebagai satu lagi sandaran negara dalam acara beregu lelaki.

Katanya, prestasi konsisten pasangan itu kebelakangan ini memberi keyakinan kepada barisan kejurulatihan untuk mempertaruhkan mereka di Sukan Asia.

“Keputusan Sze Fei-Izzuddin (dalam kejohanan tahun ini) lebih meyakinkan dan mereka akan disokong gandingan Aaron-Kai Wun,” katanya.

Sze Fei-Izzuddin menjadi beregu lelaki negara paling menyerlah musim ini selepas muncul juara Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia selain naib juara Masters Malaysia.

Acara badminton Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan bermula dengan saingan berpasukan dari 20 hingga 24 September, sebelum acara individu berlangsung dari 25 hingga 29 September.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.