Tiga gadis didakwa tunggang motosikal secara berbahaya

23 Jul 2026, 6:05 AM
Tiga gadis didakwa tunggang motosikal secara berbahaya

SHAH ALAM, 23 JULAI: Tiga gadis didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘superman’ di Jalan Pintasan Kuantan.

Dua daripada tertuduh yang masing-masing berusia 17 dan 18 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.

Seorang lagi tertuduh berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pintasan Kuantan dari arah Terminal Sentral Kuantan ke Bukit Rangin pada jam 12.30 pagi, 16 Julai lalu, lapor Harian Metro.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda maksimum RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Noraini Mohd Nor manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan laporan akhlak dan laporan sosial bagi dua tertuduh berusia 17 dan 18 tahun.

Majistret turut membenarkan Nur gadis berusia 18 dan 21 tahun diikat jamin RM3,000 setiap seorang, manakala seorang lagi tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000.

Pada 19 Julai lalu, tular di media sosial rakaman memaparkan sekumpulan gadis menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘superman’.

Media sebelum ini melaporkan semua gadis terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 18 Julai lalu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.