KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Citizens International mengecam ugutan yang dikeluarkan sekumpulan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa Malaysia membatalkan dasar kedaulatannya berhubung warga Israel dalam tempoh 15 hari.
Pengarah Eksekutifnya, Imran Rasid berkata tuntutan yang dikemukakan, termasuk oleh Greg Landsman, Josh Gottheimer dan Debbie Wasserman Schultz, merupakan tindakan intimidasi politik yang tidak boleh diterima serta mencabul prinsip asas kesaksamaan kedaulatan yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Bagi kebanyakan negara di Selatan Global, kedaulatan bukan sekadar gelaran simbolik. Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat, mempunyai keupayaan untuk menolak tuntutan kuasa besar dan hanya menerima sesuatu dasar sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyatnya sendiri.
"Begitu juga dasar domestik dan imigresen Malaysia adalah hak mutlak kerajaan dan rakyat Malaysia. Ia bukan perkara yang wajar diperdebatkan di Dewan Kongres AS, dan tiada mana-mana negara harus berunding mengenai dasar imigresen atau dasar luarnya di bawah tekanan badan perundangan asing," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Imran turut mengecam "diplomasi membuli" yang cuba memaksa negara memilih sama ada "bersama kami atau menentang kami", selain menjadikan bantuan ketenteraan dan ekonomi sebagai alat paksaan bagi memaksa negara berdaulat meninggalkan prinsip moral dan politik mereka.
Dalam surat kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio, kumpulan ahli Kongres itu menggesa AS menggantung pembiayaan Program Latihan dan Pendidikan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) kepada Malaysia sekiranya negara ini enggan mengubah dasarnya dalam tempoh 15 hari.
Mengulas dakwaan bahawa Malaysia bersifat "anti-Semitik", Imran berkata tuduhan itu tidak berasas dan bertujuan menyenyapkan penentangan yang sah terhadap dasar serta tindakan Israel seperti pendudukan wilayah Palestin, penempatan haram dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Pendekatan Malaysia ialah menentang pendudukan dan dasar aparteid, bukannya didorong kebencian terhadap kaum atau agama. Ia berasaskan komitmen kami terhadap dasar berkecuali secara aktif dan prinsip undang-undang antarabangsa," katanya.
Citizens International turut menggesa kerajaan Malaysia supaya menolak dengan tegas sebarang ugutan luar tanpa kompromi, di samping menyeru masyarakat antarabangsa dan negara-negara Selatan Global mempertahankan kedaulatan negara daripada diplomasi paksaan.
"Solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin, bersama negara seperti Iran, Cuba dan Venezuela, adalah berasaskan keadilan dan nilai kemanusiaan, dan tidak akan ditentukan melalui ugutan, sekatan atau tekanan politik luar," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menegaskan Malaysia akan terus melarang warga Israel memasuki negara ini walaupun dibantah oleh lapan ahli Kongres AS.
Anwar berkata pendirian kerajaan Malaysia berpandukan komitmennya untuk mempertahankan hak rakyat serta menentang penindasan, pencerobohan dan pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza.







