MBPJ kompaun premis tanpa lesen, 58 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu

22 Jul 2026, 2:00 PM
MBPJ kompaun premis tanpa lesen, 58 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu

SHAH ALAM, 22 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan sembilan kompaun terhadap premis yang didapati beroperasi tanpa lesen serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu hari ini.

Operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu turut menyaksikan 58 warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

MBPJ menerusi Facebook memaklumkan operasi berkenaan dijalankan bagi memastikan pemilik premis mematuhi syarat, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.

“Secara keseluruhan, MBPJ mengeluarkan sembilan kompaun, melaksanakan tujuh tindakan sitaan, menutup sebuah premis serta mengeluarkan lapan notis atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon mengetuai operasi bersepadu Majlis Bandaraya Petaling Jaya bersama Jabatan Imigresen Malaysia di kawasan Petaling Jaya Selatan dan Mutiara Damansara pada 22 Julai 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Operasi yang diketuai Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon tertumpu di kawasan Petaling Jaya Selatan dan Mutiara Damansara.

MBPJ turut menggesa orang ramai mematuhi undang-undang serta menyalurkan maklumat berhubung aktiviti perniagaan tidak berlesen kepada pihaknya.

“Marilah kita berganding bahu memastikan kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian bandar raya Petaling Jaya terus terpelihara,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.