Wanita umur 31 tahun maut ketika aktiviti meyelam di Pulau Tioman

22 Jul 2026, 12:33 PM
Wanita umur 31 tahun maut ketika aktiviti meyelam di Pulau Tioman

KUANTAN, 22 JULAI: Seorang wanita tempatan meninggal dunia semasa menjalankan aktiviti menyelam di perairan Kampung Salang, Pulau Tioman, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa, Heng Jing Ying, 31, bersama rakannya telah menyertai aktiviti anjuran sebuah pusat selaman selama dua hari bermula 17 Julai.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pada 19 Julai lepas, mangsa bersama kumpulan sembilan peserta, seorang pengajar dan seorang divemaster melakukan aktiviti selam santai di kawasan Seafan, Batu Malang, Pulau Tulai.

"Sebelum aktiviti dijalankan, mangsa dan kumpulannya telah diberikan taklimat berkaitan keselamatan serta penggunaan peralatan, walaupun mereka mempunyai lesen menyelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata semasa berada pada kedalaman 17.6 meter, mangsa dipercayai terpisah daripada kumpulannya dan usaha pencarian segera dilakukan oleh instruktor di kawasan selaman.

"Selepas hampir 30 minit pencarian, mangsa ditemukan terdampar di dasar berpasir tidak jauh dari kawasan selaman,” katanya.

Sharif Shai berkata mangsa kemudian dibawa ke bot dan diberikan bantuan pernafasan, namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas sebelum dibawa ke Klinik Kampung Tekek untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kampung Tekek. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat keadaan gelembung gas atau udara memasuki saluran darah arteri, selain siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah berkaitan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.