SHAH ALAM, 22 JULAI: Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pekerja kerana meliputi kemalangan berlaku di luar waktu bekerja, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan apabila ditimpa musibah.
Pakar Ekonomi Buruh Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Rusmawati Said berkata perlindungan baharu diperkenal Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu wajar dipertimbang kerana banyak kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.
“Laporan data pada 2024 yang disiarkan media sebelum ini menunjukkan daripada 86,529 kes kemalangan yang diterima PERKESO, kira-kira 23 peratus kemalangan dilaporkan berlaku di luar waktu bekerja. Ini menyebabkan ramai pekerja tidak layak membuat tuntutan di bawah perlindungan sedia ada.
“Jadi kita dapat lihat matlamat skim itu untuk memberi perlindungan secara menyeluruh kepada pekerja baik dalam waktu bekerja atau di luar waktu bekerja.

“Kadang-kadang kemalangan ini kesannya bukan dalam jangka masa pendek tapi jangka panjang terutama daripada segi kelangsungan ekonomi pencarum yang mungkin terkesan jika berlaku kehilangan upaya dan sebagainya,” katanya kepada Media Selangor.
Rusmawati berkata pekerja yang sudah memiliki insurans peribadi juga perlu menilai semula manfaat polisi masing-masing kerana tidak semua perlindungan menawarkan manfaat menyeluruh termasuk kehilangan upaya kekal.
“Ada insurans yang mungkin tidak melindungi semua itu. Mungkin ada yang meliputi bayaran hospital sahaja. Jadi ada baiknya untuk semak semula polisi masing-masing,” katanya.
Namun, katanya penerangan lebih meluas perlu diberikan oleh PERKESO kepada majikan dan pekerja bagi memastikan mereka memahami konsep sebenar LINDUNG 24 Jam serta tidak menganggapnya sebagai pertindihan caruman.
Katanya, kefahaman yang jelas penting supaya pekerja dapat membuat pertimbangan berdasarkan manfaat perlindungan yang ditawarkan, bukannya hanya melihat kepada jumlah caruman.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Muhammad Syukri Abdullah berkata pekerja terutama pencari nafkah utama keluarga disaran mempertimbangkan skim itu sebagai perlindungan kewangan sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
Jelas beliau, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk ketika berada di rumah, memandu untuk urusan peribadi, bersukan atau menjalankan aktiviti harian.
Menurutnya, kecederaan serius boleh menjejaskan pendapatan pekerja sedangkan komitmen seperti pinjaman, perbelanjaan keluarga dan kos rawatan masih perlu ditanggung.
“Perlindungan seperti ini wajar dipertimbangkan, khususnya oleh pekerja yang menjadi pencari nafkah utama, mempunyai ramai tanggungan atau tidak mempunyai perlindungan kemalangan yang mencukupi.
“Matlamatnya bukan untuk menjangkakan perkara buruk, tetapi untuk memastikan keluarga mempunyai jaringan keselamatan jika perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Kerajaan sebelum ini memutuskan caruman LINDUNG 24 Jam di bawah PERKESO tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Susulan itu, PERKESO membuka pilihan pengecualian bagi LINDUNG 24 Jam secara dalam talian mulai 13 Julai dan pencarum yang tidak mahu menyertai skim itu boleh membuat permohonan pengecualian menerusi platform yang disediakan.







