Mekanik warga Indonesia dituduh edar hampir 75 kg syabu

22 Jul 2026, 4:34 AM
Mekanik warga Indonesia dituduh edar hampir 75 kg syabu

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini atas pertuduhan mengedar hampir 75 kilogram (kg) dadah disyaki syabu di kawasan parkir di Jalan Tun Hamdan, minggu lalu.

Tertuduh, Sopian Mustafa, 40, yang juga warga Indonesia, mengaku faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 74,866 gram pada kira-kira jam 10.30 malam, 12 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, dia turut berdepan hukuman minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh diwakili peguam Prem Elmer.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau, BSJND Kunak dan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Pemeriksaan ke atas sebuah Proton Saga berwarna kelabu yang diparkir di hadapan sebuah premis di Jalan Tun Hamdan membawa kepada penemuan sejumlah dadah disyaki syabu bernilai jutaan ringgit.

Polis turut merampas tiga beg golf, sebuah beg jenama Hyper Gear, sebuah beg silang jenama Armani Exchange, wang tunai RM12,674 serta sebuah telefon bimbit iPhone 14 Pro Max.

Pemeriksaan lanjut ke atas tiga beg golf dan beg Hyper Gear menemukan 70 bungkusan plastik mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki syabu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.