MANILA, 21 JULAI: Sweden, Poland, Romania dan Lithuania hari ini diterima sebagai anggota baharu Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keempat-empat negara itu dijadual menandatangani penyertaan ke dalam triti berkenaan secara rasmi pada Jumaat ini, bersempena dengan Majlis Peringatan Ulang Tahun ke-50 TAC.
Beliau berkata keputusan menerima penyertaan negara berkenaan dicapai pada sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-59 dan Pasca Persidangan Menteri-Menteri (PMC) serta Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina di sini hari ini.
Mohamad berkata Sekretariat ASEAN di Jakarta kini sedang memproses banyak lagi permohonan dari negara luar yang berminat untuk menyertai triti tersebut sebelum dikemukakan untuk persetujuan negara anggota ASEAN.
“Perkembangan ini menunjukkan masyarakat antarabangsa melihat ASEAN sebagai sebuah blok rantau yang aman dan mereka mahu bersama-sama memastikan rantau ini kekal aman dengan jalinan kerjasama baik,” katanya selepas menghadiri sesi pleno AMM ke-59 di sini, pada Selasa.
TAC yang diwujudkan pada 1976 merupakan kod tatakelakuan asas bagi hubungan antara negara di Asia Tenggara yang menggariskan prinsip hidup bersama secara aman, saling menghormati serta kerjasama dalam kalangan pihak yang menandatanganinya.
Sehingga 2025, TAC mempunyai 58 Pihak Berkontrak Tinggi termasuk 11 negara anggota ASEAN.
Negara-negara dari rantau lain yang menyertai TAC termasuk Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Amerika Syarikat, Brazil, Peru, Jerman, Turkiye, Ukraine, Arab Saudi, Iran, Mesir dan Maghribi.
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-59 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Filipina tahun ini dengan tema “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”.







