Fahmi: Tadbir urus digital perlu seiring perkembangan teknologi AI

21 Jul 2026, 5:18 AM
Fahmi: Tadbir urus digital perlu seiring perkembangan teknologi AI

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Kecekapan tadbir urus perlu sentiasa berkembang seiring dengan teknologi bagi memastikan rangka kerja, dasar, dan undang-undang kekal relevan, terutamanya dalam menangani inovasi pesat seperti kecerdasan buatan (AI).

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendekatan ini disifatkan penting bagi mengekalkan kepercayaan awam, memastikan keselamatan digital, sekali gus memacu daya saing negara.

“Kita mesti memastikan tadbir urus berkembang seiring dengan teknologi. Ini memerlukan rangka kerja yang cukup tangkas untuk bertindak balas terhadap perubahan.

“Ia juga perlu cukup seimbang untuk menggalakkan inovasi dan cukup jelas untuk memberikan kepastian kepada industri sambil mengekalkan keyakinan orang ramai.

“Cabaran pada masa hadapan, ia mungkin tidak boleh ditangani oleh mana-mana kerajaan, pengawal selia, syarikat atau organisasi antarabangsa. Ia melangkaui sempadan, sektor dan disiplin,” katanya berucap.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (dua dari kiri) Timbalan Menteri Komunkasi Teo Nie Ching (dua dari kanan) Anggota Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Derek John Fernandez (kiri sekali) Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan sekali) merasmikan Majlis Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri’la Kuala Lunpur pada 21 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya, Teo Nie Ching.

Persidangan tahunan kali ketiga anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu diadakan dengan tema Membentuk Era Digital Ke Hadapan: Peraturan, Ketahanan dan Kepercayaan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata SKMM sedia membawa syor dan dapatan persidangan IRC ke peringkat Jemaah Menteri dan Dewan Rakyat bagi memperkukuh kerangka perundangan digital negara.

Sebagai contoh, katanya, hasil persidangan IRC sebelum ini turut membantu membentuk pindaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berkaitan ancaman buli siber, khususnya eksploitasi kanak-kanak.

“Kita juga tahu kementerian sedang berusaha untuk sedia rang undang-undang berkaitan AI. Banyak perbincangan daripada teknologi baharu muncul.

“Kita akan bawa dan bincang sama ada di peringkat Jemaah Menteri supaya apa-apa rang undang-undang yang boleh ditambah baik atau digubal baharu, ini yang kita akan bawa ke Dewan Rakyat,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.