Manifesto PRN Negeri Sembilan: HARAPAN garis 10 komitmen utama

20 Jul 2026, 3:25 PM
Manifesto PRN Negeri Sembilan: HARAPAN garis 10 komitmen utama

SEREMBAN, 20 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini melancarkan manifesto bertemakan ‘Negeri Sembilan Kekal Harapan’, yang menggariskan 10 komitmen utama sebagai tawaran gabungan itu bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pelancaran manifesto itu disempurnakan oleh Pengerusi HARAPAN Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini.

Sepuluh komitmen berkenaan adalah menawarkan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat; memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR); membina ekonomi yang berdaya saing dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, serta memastikan pendidikan berkualiti untuk semua.

Turut terkandung dalam manifesto berkenaan, penyediaan 20,000 rumah mampu milik dan penyelesaian isu tanah; memperkasakan belia, wanita dan keluarga serta membangunkan sektor pelancongan dan warisan adat, selain menjayakan Pelan Pembangunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Manifesto berkenaan turut menumpukan soal pertanian moden dan keterjaminan makanan; merealisasikan infrastruktur strategik dan perkhidmatan kesihatan berkualiti, serta memperkasakan perpaduan antara agama.

Turut hadir Timbalan Pengerusi HARAPAN Anthony Loke merangkap Setiausaha Agung DAP, Ahli Majlis Presiden HARAPAN Dato' Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Dr Fuziah Salleh serta Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan dalam ucapannya pada majlis itu berkata beliau mahu Negeri Sembilan muncul sebagai Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia, iaitu sebuah koridor pertumbuhan baharu negara yang menghubungkan zon ekonomi strategik Lembah Klang dan selatan tanah air.

Beliau berkata kedudukan geografi negeri yang berhampiran dengan ibu negara dan lengkap dengan rangkaian logistik, lebuh raya, pelabuhan, serta berhampiran dengan lapangan terbang antarabangsa meletakkannya sebagai nadi pertumbuhan baharu.

Naib Presiden KEADILAN itu berkata jajaran pembangunan dari Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan, Selangor sebagai enjin perindustrian, dan Melaka sebagai hub pelancongan serta maritim perlu disatukan bersama Negeri Sembilan dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.

"Di tengah-tengah koridor inilah berdirinya Negeri Sembilan. Negeri Sembilan bukan lagi negeri di tengah perjalanan, tetapi bakal menjadi pusat kepada perjalanan itu, daripada sebuah negeri laluan kepada negeri destinasi utama pelaburan dan inovasi," katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pelbagai projek pemacu ekonomi seperti penjenamaan semula Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), pembangunan NS Semiconductor Valley, dan Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City dirancang khusus bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anak tempatan.

Mengambil contoh keharmonian pembangunan wilayah Hokkaido di Jepun, beliau berhasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai contoh pembangunan paling seimbang di Malaysia, yang menyaksikan kemajuan industri moden bergerak seiring dengan keindahan alam sekitar dan keunikan Adat Perpatih.

"Kemajuan sebenar bukan sekadar diukur melalui angka statistik atau megahnya bangunan, sebaliknya diukur daripada kualiti hidup rakyat. Adakah anak muda mendapat pekerjaan yang baik, keluarga memiliki kediaman sendiri, dan usahawan tempatan terus berkembang," katanya.

Sehubungan dengan itu, Aminuddin menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk terus memberikan mandat bagi membolehkan Visi Negeri Sembilan Maju 2045 direalisasikan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.