Anwar: Harga petrol tak boleh diturunkan sesuka hati

20 Jul 2026, 8:25 AM
Anwar: Harga petrol tak boleh diturunkan sesuka hati

KAJANG, 20 JULAI: Kerajaan tidak boleh menurunkan harga minyak sewenang-wenangnya mengambil kira negara ketika ini menanggung subsidi petrol dan diesel berjumlah RM40 bilion setahun, menurut perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan segelintir pihak bahawa harga petrol boleh diturunkan sehingga 50 sen adalah tidak realistik kerana Malaysia masih mengimport hampir 50 peratus keperluan petroleum negara.

"Saya ingat tiap-tiap kali you ambil minyak tu ada suntikan subsidi kerajaan dan keseluruhannya RM40 bilion setahun untuk minyak dan diesel. Boleh nak suruh turun lagi tapi kemudian siapa nak bayar?

"Saya tak mahu hutang melonggok banyak-banyak. Orang kata hutang bertambah. Tak. Hutang kerajaan sekarang berkurangan tetapi jumlah hutang bertambah kerana faedah tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS) di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan ketika ini menanggung kos subsidi petrol dan diesel yang besar, justeru sebarang cadangan untuk menurunkan harga minyak perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara.

Anwar berkata, perbandingan harga minyak Malaysia dengan negara pengeluar seperti Arab Saudi juga perlu dibuat secara adil kerana Malaysia masih bergantung kepada import bagi hampir separuh keperluan petroleum negara.

"Saudi ialah pengeluar petrol terbesar di dunia.Dia punya kapasiti berlebihan tapi harga RM2.40, RM2.50. Kita masih import 50 peratus keperluan kita dan kita turunkan RM1.99. Alhamdulillah," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan perlu bertanggungjawab mengurus kewangan negara dan tidak membuat keputusan semata-mata untuk mendapatkan populariti.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.