Mahkamah: Pegawai imigresen didakwa terima rasuah bulanan daripada pengusaha restoran

20 Jul 2026, 6:26 AM
Mahkamah: Pegawai imigresen didakwa terima rasuah bulanan daripada pengusaha restoran

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas tujuh pertuduhan menerima rasuah secara bulanan daripada pengusaha sebuah restoran berjumlah keseluruhan RM1,950 berkaitan kes melindungi pekerja asing tanpa permit antara Januari hingga Julai tahun lalu.

Mohd Nazrul Md Yasin, 39, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus semua pertuduhan selesai dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam, lapor Berit Harian.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Melaka didakwa menerima suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah antara RM300 hingga RM150 daripada seorang lelaki pengusaha restoran berusia 69 tahun.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang wanita berusia 23 tahun, yang juga anak warga emas itu selaku pemilik restoran kerana melindungi pekerja warga asing Indonesia, Kusmiyati kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di dalam premis yang menjadi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1957/63.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Nurul, Jalan Muar, Merlimau, Jasin pada tarikh dan masa berbeza antara 1 Januari 2025 hingga 10 Julai 2025, kira-kira jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengijut mana-mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa'ari menghujahkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah berat dan tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihaknya mencadangkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan yang disifatkan munasabah bagi menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.

Pihaknya turut memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, wajib melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguamnya merayu jaminan minimum diberikan atas alasan hanya menyediakan wang jaminan RM5,000, hasil wang dipinjam selain kini sudah digantung kerja dan penanggung tunggal keluarga serta perlu menjaga ibu serta empat orang anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat-syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos ini untuk lantikan peguam.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.