e-Invois bantu kesan pendapatan tidak diisytihar, tingkatkan kutipan cukai RM1 bilion

20 Jul 2026, 4:11 AM
e-Invois bantu kesan pendapatan tidak diisytihar, tingkatkan kutipan cukai RM1 bilion

SHAH ALAM, 20 JULAI: Pelaksanaan sistem e-Invois berjaya mengesan pendapatan yang tidak dilaporkan apabila lebih 52,540 pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan tambahan pendapatan bercukai RM4.07 bilion sejak inisiatif itu diperkenalkan pada Ogos 2024.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata pengisytiharan itu menyumbang kepada cukai kena dibayar berjumlah RM1.009 bilion, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan meningkatkan kutipan hasil negara.

Beliau berkata, kejayaan itu didorong keupayaan sistem e-Invois membolehkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) melaksanakan analisis data dan penilaian risiko dengan lebih berkesan.

"Berdasarkan pelaksanaan e-Invois setakat ini, apabila kita memperoleh data dan membuat analisis, kita mendapati terdapat individu atau perniagaan yang aktif membuat pembelian, tetapi tidak berdaftar atau tidak melaporkan pendapatan sewajarnya dengan LHDN.

"Susulan itu, LHDN menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan sama ada terdapat punca pendapatan belum dizahirkan. Hasilnya, setakat ini lebih 52,540 pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan tambahan cukai kena dibayar berjumlah kira-kira RM1 bilion.

"Itu adalah hasil pelaksanaan inisiatif e-Invois," katanya seperti dilapor BH.

Johan berkata, data yang diperoleh menerusi sistem e-Invois memudahkan HASiL mengenal pasti individu atau perniagaan yang mempunyai transaksi kewangan aktif, termasuk pembelian bernilai tinggi, tetapi berisiko tidak melaporkan pendapatan sebenar.

Katanya, analisis itu membolehkan HASiL mengenal pasti pembayar cukai yang memerlukan semakan lanjut apabila corak transaksi atau pembelian didapati tidak sepadan dengan rekod percukaian.

"Selaras dengan prinsip ketelusan dalam sistem percukaian negara, bermula 1 Januari 2026, semua pembayar cukai perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang melebihi RM10,000.

"Oleh itu, pembeli perlu mengemukakan maklumat nombor pengenalan diri atau nombor pengenalan cukai (TIN) kepada penjual bagi membolehkan e-Invois dapat dikeluarkan dengan maklumat pembeli yang tepat.

"Jika semakan mendapati mereka tidak berdaftar atau ada kemungkinan pendapatan belum dilaporkan, HASiL akan menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan," katanya.

Menurut Johan, pendekatan itu bukan bertujuan terus mengambil tindakan penguatkuasaan, sebaliknya HASiL akan menghantar surat kepada individu terbabit bagi memberi peluang mereka menyemak serta mengemas kini pelaporan pendapatan jika perlu.

Beliau berkata kerajaan turut melaksanakan e-Invois secara berfasa serta menyediakan tempoh peralihan tambahan (relaxation period) bagi membantu peniaga menyesuaikan diri dengan sistem baharu itu.

Selain itu, katanya, kerajaan memperkenalkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois yang membolehkan peniaga membetulkan atau melengkapkan rekod e-Invois sehingga 31 Disember 2027 tanpa dikenakan penalti.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut mempercepat tuntutan penuh elaun modal bagi perbelanjaan pembelian komputer, perisian dan sistem yang diperlukan bagi melaksanakan e-Invois dalam tempoh setahun bagi membantu mengurangkan kos pematuhan.

Johan berkata penggunaan data menerusi e-Invois juga dijangka memperkukuh usaha kerajaan membanteras ekonomi gelap secara berperingkat, di samping meningkatkan tahap pematuhan cukai tanpa menambah beban kepada peniaga yang mematuhi peraturan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.