DUBAI, 20 JULAI: Iran meneruskan serangan terhadap sasaran tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya pada Isnin dengan mendakwa menyerang sebuah pusat operasi berhampiran pangkalan Al-Tanf di Syria.
Dalam perkembangan sama, Bahrain mengaktifkan siren amaran serangan udara susulan peningkatan ketegangan di rantau itu yang turut menyaksikan harga minyak melonjak melebihi AS$90 setong.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan pihaknya melancarkan "serangan mengejut" ke atas sebuah pusat operasi khas musuh di wilayah Al-Tanf, Syria, menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Iran, IRNA.
Menurut IRGC, serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap kematian anggota tenteranya dari Iranshahr, sebuah bandar di tenggara Iran.
Pangkalan Al-Tanf yang terletak berhampiran sempadan Syria dengan Iraq dan Jordan sejak sekian lama digunakan oleh tentera AS bersama kumpulan sekutunya dalam operasi menentang kumpulan militan Daesh.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Bahrain memaklumkan siren amaran serangan udara dibunyikan pada awal pagi Isnin dan menggesa rakyatnya supaya bertenang serta mendapatkan perlindungan.
"Siren amaran telah dibunyikan," menurut kenyataan kementerian itu yang dimuat naik di platform X.
Bahrain yang menempatkan Armada Kelima Tentera Laut AS sebelum ini turut menjadi sasaran serangan Iran sejak beberapa hari lalu.
Kerajaan negara itu menuduh Tehran melancarkan serangan ke atas kawasan awam.
Kuwait dan Bahrain, yang masing-masing menempatkan kemudahan ketenteraan AS, antara negara Teluk yang paling terkesan dengan siri serangan Iran terhadap sekutu Washington sejak pertempuran kembali tercetus bulan ini.
Perkembangan itu berlaku meskipun kedua-dua pihak sebelum ini mencapai gencatan senjata awal serta menandatangani memorandum persefahaman antara Washington dan Tehran bagi meredakan ketegangan.







