Bangkit lawan kanser tulang, Nurshafiqah sambung legasi PakDin Nanas

19 Jul 2026, 1:00 AM
Bangkit lawan kanser tulang, Nurshafiqah sambung legasi PakDin Nanas
Bangkit lawan kanser tulang, Nurshafiqah sambung legasi PakDin Nanas
Bangkit lawan kanser tulang, Nurshafiqah sambung legasi PakDin Nanas

SABAK BERNAM, 19 Julai: Tanggapan sinis terhadap wanita muda yang berjinak-jinak dalam sektor peladangan ditepisnya jauh-jauh.

Meski disindir kononnya wanita tidak sesuai menjadi petani, berkebun tiada jaminan masa depan dan sukar berkembang maju, Nurshafiqah Rosdin tidak mengendahkan kata-kata tersebut.

Beliau teguh dengan minatnya. Memang gadis berusia 30 tahun itu cenderung dalam sektor tersebut. Terinspirasi dari bapanya Rosdin Napiah yang memiliki kebun nanas di Sabak Bernam. Nurshafiqah sendiri lepasan diploma bidang perladangan.

Minat terhadap pertanian sejak kecil serta inspirasi daripada bapanya, Rosdin Napiah, mendorong Nurshafiqah Rosdin meneruskan legasi perusahaan PakDin Nanas di Sabak Bernam. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sejak zaman persekolahan lagi, beliau menunjukkan minat mendalam. Sentiasa ada rasa ingin tahu terhadap satu-satu tanaman. Gadis tersebut juga kerap membantu dan mengikuti bapanya ke kebun.

Namun, Nurshafiqah tidak terus terjun ke sektor tersebut. Sebaliknya beliau bekerja di sebuah syarikat swasta di Shah Alam pada tahun 2017 usai pengajian diploma. Pada masa sama, beliau menyambung pengajian ijazah sarjana muda perniagaan secara separuh masa di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Namun, kehidupannya berubah mendadak apabila beliau disahkan menghidap barah tulang pada akhir tahun 2022. Tanpa disedarinya, musibah itu perlahan-lahan membawa sinar baharu dalam kehidupannya.

“Memang patah semangat pada awalnya. Ketika itu, saya bekerja dan pada masa sama sedang menyambung pengajian. Tangan kanan mula sakit, membengkak dan selepas menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) serta biopsi, saya disahkan menghidap kanser tulang.

“Selepas rawatan dan fisioterapi selama kira-kira setahun, saya mula fikir apa yang boleh saya lakukan untuk bangkit semula sebab saya dah berhenti kerja ketika itu,” katanya kepada Media Selangor.

Pengusaha nanas, Rosdin Napiah (kiri), berkongsi ilmu penanaman bersama anaknya, Nurshafiqah Rosdin (tengah), yang kini meneruskan legasi perusahaan keluarga di kebun PakDin Nanas, Sabak Bernam. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sepanjang tempoh pemulihan itu, Nurshafiqah kerap meluangkan masa di kebun milik bapanya yang mengusahakan tanaman nanas di Sabak Bernam.

“Saya nampak ramai menghubungi ayah untuk bertanya tentang nanas. Jadi saya terfikir, kenapa tidak kita kongsikan ilmu dan pengalaman yang ada kepada orang ramai.

“Dari situ saya mula menghasilkan (bahan) kandungan berkaitan pertanian dan perusahaan nanas di TikTok serta beberapa platform media sosial lain,” katanya.

Usaha itu membuahkan hasil. Akaun media sosial syarikat mengumpulkan lebih 260,000 pengikut dalam masa sesingkat setahun. Bukan sahaja rakyat tempatan, bahkan ramai dari Vietnam, Taiwan, Singapura dan Brunei. Ada datang sendiri ke kebun untuk mendapatkan maklumat dan membeli hasil tanaman.

Usaha keras Nurshafiqah sejak 2024 membuktikan bidang pertanian menawarkan masa depan cerah jika setiap tugas dilakukan penuh berdisiplin dengan memberi kudrat terbaik.

Rosdin Napiah (kanan) bersama anaknya, Nurshafiqah Rosdin, bergambar di kebun nanas keluarga di Sabak Bernam. Selepas melalui ujian kanser tulang, Nurshafiqah kini meneruskan legasi perusahaan PakDin Nanas yang diasaskan bapanya. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Kembang perusahaan

Kini, beliau mengurus hampir keseluruhan operasi syarikat termasuk pemasaran dan pembangunan jenama PakDin Nanas. Bapanya pula berperanan sebagai penasihat serta memantau operasi kebun.

Gadis tersebut juga mengembangkan perusahaan tanaman nanas keluarganya, daripada hanya tiga ekar kepada 13 ekar. Gred tanaman juga dipelbagai. Ada MD2, MS16, Yankee, Tainong, Josephine dan SG1. Kesungguhan itu membuahkan hasil apabila jualan yang dipasarkan terus di kebun mencecah lebih RM55,000 setiap kali musim jualan.

“Saya mahu buktikan pertanian bukan bidang yang ketinggalan. Jika diurus secara profesional dan dipromosi dengan baik, ia mampu menjana pendapatan besar. Jangan malu menjadi petani walaupun masih muda. Yang penting disiplin, lakukan yang terbaik dan jangan mudah berputus asa,” kata Nurshafiqah.

Beliau yang kini berusia 30 tahun juga merancang untuk memperluas perusahaan tersebut sehingga mencapai 100 ekar dalam tempoh beberapa tahun lagi selain membangunkan konsep agropelancongan.

“Saya mahu jadikan kawasan ini tempat orang ramai datang belajar tentang nanas, menikmati hasil tanaman dan mungkin mempunyai kafe sendiri suatu hari nanti,” katanya penuh keazaman.

Rosdin, 58, pula benar-benar bersyukur. Meskipun Nurshafiqah berdepan ancaman barah tetapi anak kedua dari tiga beradik perempuan itu kini penerus legasi perniagaannya.

Beliau juga mengakui keluarganya berdepan tekanan emosi dan kos rawatan yang tinggi saat Nurshafiqah disahkan menghidap penyakit berbahaya itu.

“Kami memang sedih dan risau. Untuk mengelakkan dia terus murung, saya bawa dia kembali ke kebun. Sebab pesakit barah ini kita tidak boleh biar dia murung sebaliknya perlu bagi semangat dan gembirakannya,” katanya.

Rosdin lega keputusan membawa anak gadisnya itu pulang ke kampung halaman untuk kembali bergelumang tanah, dengan tanaman yang juga diminatnya sejak kecil, bukan sahaja membawa keceriaan, bahkan perniagaan semakin berkembang luas, merentasi ke luar negara.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.