SHAH ALAM, 18 JULAI: Kerja naik taraf Gerai Taman Melawati (lama) di Jalan Bandar kini mencapai kemajuan 44 peratus dengan projek berkenaan dijangka siap pada September ini.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata projek bernilai hampir RM1 juta itu menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung.
“Kerja-kerja membina semula dan mengubah suai Gerai Taman Melawati (lama) dilaksanakan setelah mengambil kira keadaan premis sebelum ini yang telah uzur dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa dari segi keselesaan, keselamatan termasuk imej persekitaran,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MPAJ, seramai 15 peniaga yang terlibat telah ditempatkan di lokasi sementara di Bazar Melawati dan Medan Selera Anjung Melawati sejak projek bermula pada Mac lalu.
Antara skop kerja yang dilaksanakan termasuklah membina semula dan membaik pulih bumbung, menaik taraf tandas awam serta surau, menyediakan tempat letak kereta dan motosikal, menambah baik ruang makan selain kerja-kerja landskap.
“Kemudahan Gerai Taman Melawati yang dinaik taraf dijangka akan memberi manfaat kepada lebih banyak pihak terutamanya pengusaha perniagaan dan pengunjung, seterusnya merancakkan ekonomi setempat di Taman Melawati,” katanya.



