SHAH ALAM, 18 Julai: 29 orang pelawak dan 11 bakat muda bakal menggemparkan PJ Comedy Fest 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 29 Julai hingga 2 Ogos depan, di Jaya One.
Menerusi sembilan produksi, festival selama lima hari itu yang merupakan himpunan komedi terbesar di Petaling Jaya tahun ini, akan menampilkan persembahan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, sekali gus meraikan kepelbagaian budaya Malaysia menerusi seni komedi.
Sepanjang penganjuran festival, penonton akan disajikan dengan pelbagai bentuk persembahan termasuk stand-up comedy, improvisasi (improv), penceritaan (storytelling) serta produksi interaktif yang akan berlangsung di Studio dan Dewan Teater Utama.
Antara acara yang paling dinantikan ialah Comedy Gala yang menampilkan barisan nama besar industri komedi tempatan seperti Joanne Kam, Shamaine Othman, Kavin Jay, Andrew Netto, Papi Zak, Fattah Azeem, Ruoh Peng dan Mad Sabah.
Festival itu turut menampilkan pelawak terkenal lain seperti Kuah Jenhan, Farid Azmeir, K-Shao, Jasmine Rajah, Brian Tan, Prakash Daniel dan Keren Bala Devan, selain kumpulan improvisasi popular, Pinball Monkeys.
PJ Comedy Fest 2026 yang dianjurkan DeStage dengan kerjasama Kam Productions itu bukan sahaja menghimpunkan pelawak berpengalaman, malah membuka ruang kepada bakat baharu untuk berkongsi pentas dan memperluas capaian mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Festival berkenaan juga menandakan lembaran baharu buat Jaya One sebagai hab hiburan, di samping memperkukuh landskap komedi tempatan melalui persembahan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Orang ramai yang berminat boleh melayari laman sesawang cloudjoi.com dan laman media sosial DeStage untuk maklumat lanjut mengenai jadual persembahan dan harga tiket.







