Inkues: Temu bual ibu bapa Zara penting nilai perkembangan, latar psikososial

17 Jul 2026, 2:22 PM
Inkues: Temu bual ibu bapa Zara penting nilai perkembangan, latar psikososial

KOTA KINABALU, 17 JULAI: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu temu bual yang dijalankan bersama ibu bapa Zara Qairina Mahathir adalah sebahagian daripada proses untuk memahami sejarah perkembangan dan latar belakang psikososial remaja berkenaan.

Pakar perunding psikiatri Dr Wong Haw Huo berkata sesi berkenaan bertujuan mendapatkan maklumat tambahan serta memahami latar belakang termasuk bapa Zara Qairina iaitu Mahathir Hashim, berkaitan sejarah perkembangan remaja itu.

Beliau berkata Zara Qairina masih dalam peringkat perkembangan, sehubungan itu, penting untuk memahami pelbagai aspek berkaitan ibu bapanya termasuk mengenal pasti penjaga utama, latar belakang mereka dan ciri psikologi, temperamen dan keperibadian.

“Zara sedang dalam proses membesar dan menuju alam dewasa, dan ini merupakan fasa perkembangan dirinya. Amat penting bagi kami untuk memahami siapa ibu bapanya,” katanya menjawab soalan peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip, yang mewakili bapa Zara Qairina pada inkues hari ini.

Nurul Rafeeqa bertanyakan mengapa terdapat keperluan untuk menemu bual ibu bapa terbabit tentang zaman kanak-kanak dan perkahwinan mereka, jika tujuan laporan berkenaan adalah untuk menilai hubungan antara Zara Qairina dan ibu bapanya serta keadaan kesihatan mental sebelum kematiannya.

Dr Wong berkata temu bual terhadap ibu bapa adalah satu keperluan mandatori termasuk mengumpul maklumat mengenai kehidupan mereka sebelum kelahiran Zara Qairina bagi memastikan pemahaman yang tepat berasaskan prinsip perkembangan.

“Ia (temu bual) akan memberikan kami gambaran yang munasabah dan jelas,” katanya.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan berhampiran longkang di asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Prosiding inkues dihadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung 24 Ogos.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.