Lelaki mengamuk, pecah rumah bekas kekasih di Batu Caves

17 Jul 2026, 11:20 AM
Lelaki mengamuk, pecah rumah bekas kekasih di Batu Caves

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan selepas dipercayai mengamuk dengan membawa senjata tajam sebelum memecahkan cermin tingkap rumah bekas teman wanitanya di Batu Caves, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima laporan pada jam 11.08 pagi, 13 Julai daripada kakak mangsa berhubung kejadian itu.

Beliau berkata suspek yang juga bekas teman lelaki mangsa datang ke rumah berkenaan dalam keadaan mengamuk sebelum bertindak memecahkan cermin tingkap di ruang tamu.

"Kejadian berlaku di rumah pengadu di Batu Caves, Gombak dan satu kertas siasatan telah dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ibrahim, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai pengawal kelab malam di sekitar Kuala Lumpur diberkas pada hari sama sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pada 14 Julai.

"Suspek telah mengaku bersalah atas pertuduhan khianat dan dikenakan denda RM2,000," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ikhwanizam Ismail di talian 019-6000468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-61262222 bagi membantu siasatan.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan di rumah, selain memaklumkan rondaan berkala akan dipertingkatkan bagi mencegah kejadian seumpama itu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.