SHAH ALAM, 17 JULAI: Seramai 153 mahasiswa India Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam dan Bestari Jaya menerima bantuan komputer riba menerusi inisiatif Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi menyokong keperluan pembelajaran digital mereka.
Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata bantuan itu mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus dipelihara, khususnya dari aspek akses kepada kemudahan pembelajaran.
“Bantuan peranti ini merupakan sumbangan daripada MITRA yang diuruskan pelaksanaannya oleh Yayasan Didik Negara dengan kerjasama erat pihak UNISEL dalam menyelaras proses penyerahan kepada para penerima.
“Inisiatif ini dijangka dapat membantu meningkatkan akses kepada pembelajaran digital sekali gus menyokong kecemerlangan akademik serta memperkasakan pengalaman pembelajaran dalam era pendidikan berteraskan teknologi,” katanya menerusi Facebook.
Hasril menambah kerjasama antara MITRA, Yayasan Didik Negara dan UNISEL turut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda pendidikan inklusif serta memastikan bantuan dapat disalurkan secara tersusun kepada mahasiswa yang layak.
“Hasil kerjasama tersebut membolehkan pengagihan peranti dilaksanakan dengan lebih tersusun dan lancar demi manfaat mahasiswa.
“Dengan bantuan ini memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada menikmati kemudahan pembelajaran yang berkualiti,” katanya.
Terdahulu, majlis penyerahan yang berlangsung di Lobi Bangunan Canseleri, Kampus Bestari Jaya kelmarin, disempurnakan oleh Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) UNISEL, Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.



