KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pelaksanaan inisiatif Rakan KKM bakal menjana pendapatan tambahan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan menambah baik perkhidmatan serta kemudahan kesihatan awam demi manfaat rakyat.
KKM menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan program transformasi sistem kesihatan itu turut diperkenalkan sebagai langkah strategik untuk mengekalkan petugas sedia ada, termasuk pakar perubatan melalui pemberian imbuhan tambahan.
"Inisiatif Rakan KKM merupakan satu daripada inisiatif transformasi sistem kesihatan yang menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan dan prosedur elektif (bukan kecemasan) berbayar yang terpilih pada kadar berpatutan kepada pesakit," menurut kementerian itu.
KKM menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (HARAPAN-Bandar Kuching) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci pelan pelaksanaan, hospital yang terlibat serta cabaran dalam melaksanakan inisiatif Rakan KKM.
Mengulas mengenai status semasa, KKM menyatakan Hospital Cyberjaya telah dikenal pasti sebagai hospital rintis bagi fasa pertama program berkenaan yang bakal melibatkan perkhidmatan ortopedik dan perubatan dalaman.
Sebagai langkah persediaan untuk perluasan ke hospital lain, KKM telah menubuhkan syarikat pelaksana iaitu Rakan KKM Sdn Bhd (RKSB), yang dimiliki oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan), serta mewujudkan Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu di peringkat kementerian.
Meskipun garis masa pelaksanaan diselaraskan semula bagi mematuhi ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), kementerian memberi jaminan bahawa perlindungan terhadap hak pesakit awam tetap menjadi keutamaan.
"Kementerian komited memastikan pelaksanaan inisiatif ini dilaksanakan secara telus, mematuhi semua keperluan perundangan dan tidak menjejaskan akses pesakit kepada perkhidmatan kesihatan awam sedia ada," menurut KKM.







