Penuntut universiti rugi RM56,375 diperdaya 'Maria Adibah'

17 Jul 2026, 12:33 AM
Penuntut universiti rugi RM56,375 diperdaya 'Maria Adibah'

SHAH ALAM, 17 JULAI: Penuntut universiti awam kerugian RM56,375 selepas diperdaya sindiket love scam oleh seorang wanita yang dikenalinya menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 22 tahun membuat laporan polis petang semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata, mangsa berkenalan dengan wanita yang menggunakan nama Maria Adibah Abd Aziz melalui aplikasi Telegram pada 11 Mei lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa bekerja di sebuah syarikat pemasaran dalam talian di Kuala Lumpur sebelum meminta mangsa meminjamkan wang kononnya bagi tujuan bayaran kepada syarikat tempatnya bekerja.

"Suspek mendakwa bekerja di sebuah syarikat pemasaran dalam talian di Kuala Lumpur sebelum meminta mangsa meminjamkan wang kononnya bagi tujuan bayaran kepada syarikat tempatnya bekerja," katanya.

Azli berkata, suspek turut menawarkan menunjukkan bahagian sulit badan serta menjalinkan hubungan intim sekiranya mangsa membuat bayaran kepadanya.

Terperdaya dengan helah itu, mangsa melakukan kira-kira 45 transaksi menggunakan tiga akaun bank miliknya dalam tempoh antara 11 Mei hingga 4 Julai lalu.

Katanya, semua pembayaran dibuat melalui kod QR ke akaun yang diberikan suspek membabitkan jumlah keseluruhan RM56,375.

"Mangsa tidak pernah bertemu suspek dan hanya berhubung menerusi mesej di aplikasi Telegram."

Beliau berkata, suspek terus meminta wang sehingga mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak mudah mempercayai individu yang baru dikenali di media sosial atau aplikasi sembang, terutama yang meminta wang atau menawarkan ganjaran serta hubungan intim sebagai umpan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.