ALOR GAJAH, 16 JULAI: Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes pengabaian seorang bayi lelaki yang cedera ketika berada dalam jagaan mereka di Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal di sini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata bayi berusia sembilan bulan itu mengalami benjol pada dahi dan lebam di belakang badan dan kini ditahan di Wad Kanak-Kanak Hospital Melaka di sini.
"Pihak polis telah menerima satu laporan pada 11.32 pagi semalam, berhubung satu kes kecederaan fizikal dialami seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dan kejadian berlaku di sebuah rumah ketika mangsa dalam jagaan pengasuh.
"Susulan laporan itu, polis telah menahan sepasang suami isteri berusia 41 tahun dan 34 tahun kira-kira 11.30 malam semalam untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pengasuh pada mulanya memaklumkan bahawa kecederaan dialami bayi berkenaan berlaku kerana mangsa terhantuk pada lantai dan tersangkut di bawah katil ketika merangkak.
Menurut beliau, bagaimanapun punca sebenar menyebabkan kecederaan dialami mangsa masih belum dikenal pasti berikutan bayi berkenaan masih menjalani pemeriksaan oleh pegawai perubatan.
Dzulkhairi berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing mereka juga negatif.
Beliau berkata suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.







