Gagal adakan AGM, badan pengurusan Empire Subang dikompaun RM15,000

16 Jul 2026, 9:54 AM
Gagal adakan AGM, badan pengurusan Empire Subang dikompaun RM15,000

SHAH ALAM, 16 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengenakan kompaun RM15,000 terhadap tujuh individu termasuk pengerusi dan ahli jawatankuasa Perbadanan Pengurusan (MC) Empire Subang kerana gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi tahun 2024.

MBSJ memaklumkan kompaun itu dikenakan pada 6 Mei lalu selepas aduan diterima Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBSJ.

Menurutnya, hasil siasatan kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum kelulusan diberikan untuk tindakan kompaun diambil.

"Tindakan kompaun tersebut dibuat di bawah Jadual Pertama, Kesalahan Yang Boleh Dikompaun, Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) 2019, dibaca bersama Subseksyen 135(2) Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].

"Di bawah peruntukan ini, Pesuruhjaya boleh mengenakan kompaun dengan suatu amaun yang tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

MBSJ berkata notis tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada individu terbabit yang diberikan tempoh 14 hari untuk menjelaskan bayaran.

Menurutnya, sekiranya kompaun gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan, tindakan pendakwaan boleh diambil.

"Selain itu, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali mengikut Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015," katanya.

Sehubungan itu, MBSJ menggesa semua Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) yang masih belum mengadakan AGM supaya segera memenuhi kewajipan statutori sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013.

Menurut MBSJ, AGM merupakan platform utama bagi pemilik hartanah berstrata membincangkan serta membuat keputusan berkaitan pengurusan dan penyenggaraan bangunan.

"Pelaksanaan AGM secara teratur bukan sahaja membantu menyelesaikan isu pengurusan, malah memastikan kebajikan serta kesejahteraan komuniti strata terus terpelihara," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.