SHAH ALAM, 16 JULAI: Seorang jurujual pasar raya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya di sebuah pangsapuri di Subang Jaya, minggu lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Siti Nur Wahida Zainudin, 23, yang hadir memakai baju-T lengan panjang berwarna biru gelap dan berseluar hitam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh bayi perempuan yang dilahirkannya antara 5 pagi hingga 5.30 petang pada 7 Julai 2026 di sebuah unit pangsapuri di USJ 14, Persiaran Mulia, Subang Jaya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
-- BERNAMA






