SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Selangor akan meneliti cadangan penggunaan mesin imbas keselamatan di sekolah bagi mengesan kemasukan senjata tajam dalam usaha memperkukuh keselamatan pelajar.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu perlu diperhalusi dengan mengambil kira kos penyediaan dan penyelenggaraan mesin yang tinggi.
“Itu kita akan susulkan nanti sebab kos agak tinggi. Mungkin kita akan melihat sekiranya ada keperluan, kita akan bincang untuk menambahnya tetapi akhirnya kerajaan boleh memulakan inisiatif dari peringkat awal.
“Penyelenggaraan sistem itu memerlukan sokongan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah. Kalau PIBG dan sekolah mempunyai keupayaan, saya mengalu-alukan usaha memperkenalkan mesin pengimbas seperti digunakan di sebuah sekolah menengah di Damansara Utama,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, Amirudin melancarkan program Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
Mengulas kejadian pelajar tingkatan tiga yang cedera ditikam di sebuah sekolah di Banting, minggu lalu, Amirudin berkata pihaknya bakal mendengar pembentangan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) berhubung insiden itu.
Menurutnya, laporan berkenaan akan dibentang pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat sebelum negeri sebarang tindakan selanjutnya
“JPNS akan membentangkan laporan kepada MTES bagi membolehkan Kerajaan Negeri meneliti langkah susulan, termasuk usaha menangani isu kesihatan mental yang boleh menyumbang kepada masalah buli atau perlakuan jenayah yang tidak diingini.
“Jadi, kita akan menunggu kertas sokongan daripada JPNS. Kerajaan Negeri sedia membantu menerusi jaringan sedia ada, khususnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk anak-anak muda mengenai simptom dan kesan isu kesihatan mental,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga cedera selepas dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian belakang badan, bahu dan muka dalam kejadian di sebuah sekolah di Banting. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Suspek yang juga remaja perempuan dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu masuk utama sebelum kejadian. Ketika itu, suspek dilaporkan memakai baju-T hitam dan seluar bercorak petak merah hitam.







