MRL jawab kebimbangan penduduk, keselamatan projek ECRL jadi keutamaan

14 Jul 2026, 11:29 AM
MRL jawab kebimbangan penduduk, keselamatan projek ECRL jadi keutamaan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberi jaminan aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), susulan kebimbangan dibangkitkan penduduk Taman Mutiara Gombak 2 mengenai pembinaan laluan rel berhampiran kawasan kediaman mereka.

MRL memaklumkan pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung kebimbangan orang awam berkaitan aspek keselamatan pembinaan projek berkenaan.

"MRL memandang serius setiap aduan dan kebimbangan yang dikemukakan oleh orang awam. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek ECRL.

"Perkara ini telah difailkan di mahkamah dan akan melalui proses perundangan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MRL menegaskan pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara itu bagi menghormati proses kehakiman.

MRL memaklumkan kerja-kerja pembinaan ECRL diteruskan selaras dengan semua kelulusan, spesifikasi teknikal, keperluan kawal selia dan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Syarikat itu turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mahkamah serta semua pihak berkuasa yang berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemilik rumah di Taman Mutiara Gombak 2 memfailkan saman menuntut ganti rugi melebihi RM1.3 juta dengan mendakwa kerja pembinaan ECRL berhampiran kediamannya menyebabkan kerosakan struktur selain menjejaskan keselamatan dan nilai hartanah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.