HKM MPI-Petronas 2025 iktiraf karya terbaik wartawan menerusi 21 kategori

14 Jul 2026, 10:59 AM
HKM MPI-Petronas 2025 iktiraf karya terbaik wartawan menerusi 21 kategori
HKM MPI-Petronas 2025 iktiraf karya terbaik wartawan menerusi 21 kategori

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2025 bakal mengiktiraf karya terbaik pengamal media menerusi 21 kategori pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 yang berlangsung di Hotel The Majestic Kuala Lumpur, 17 Julai ini.

Kemuncak majlis berkenaan adalah penyampaian Hadiah Kajai, pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan negara kepada wartawan yang menghasilkan karya paling cemerlang dan berimpak.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Dr Ainol Amriz Ismail berkata majlis itu dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada ketua pengarang, editor, wartawan, pengamal media, wakil kementerian dan agensi kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi dan rakan strategik industri media.

"Bertemakan "Newsroom", MWM 2026 mengetengahkan bilik berita sebagai nadi kewartawanan yang terus berperanan memastikan setiap laporan disemak, disahkan dan diterbitkan secara beretika, meskipun industri media kini berdepan perubahan pesat akibat ledakan platform digital, media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Ia bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi simbol pengiktirafan kepada profesionalisme, keberanian dan integriti wartawan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kehadiran perdana menteri turut mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap peranan penting media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara dan pembentukan masyarakat yang bermaklumat.

HKM MPI-Petronas 2025 menerima tajaan utama daripada Petronas berjumlah RM450,000 sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh ekosistem kewartawanan dan pembangunan media berkualiti di Malaysia.

MWM merupakan acara tahunan paling berprestij anjuran MPI yang menjadi platform menghargai sumbangan pengamal media, mengiktiraf kecemerlangan kewartawanan serta memperkukuh hubungan strategik antara industri media, kerajaan dan sektor korporat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.