SHAH ALAM, 14 JULAI: Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam 2 kini berada dalam fasa perancangan (prabina) dan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan Pertama (RP1) tahun 2026.
Perkembangan itu dimaklumkan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof menerusi media sosial selepas menerima jawapan bertulis daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung status pelaksanaan projek berkenaan.
Menurut beliau, tapak sekolah baharu itu telah dikenal pasti di Jalan Setia Permai U13/40, Setia Alam yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk di Setia Alam, Alam Budiman, Puncak Perdana serta kawasan sekitarnya.
"Khabar baik untuk penduduk Setia Alam, Alam Budiman, Puncak Perdana dan sekitarnya.
"Saya telah menerima jawapan Menteri Pendidikan terhadap pertanyaan bertulis berkenaan rancangan dan status pelaksanaan projek pembinaan baharu SMK Setia Alam 2.
"Tapaknya telah dikenal pasti iaitu di Jalan Setia Permai U13/40, Setia Alam. Saya percaya ramai yang lega dengan lokasi tapak ini," katanya.

Azli berkata projek itu akan terus dipantau bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan.
"Projek ini dalam fasa perancangan (prabina) dan dilaksanakan dalam RMK13 (2026-2030). Saya akan susuli lagi progres pelaksanaan dan kemas kini makluman dari semasa ke semasa," katanya.
Berdasarkan jawapan bertulis KPM, pembinaan sekolah baharu itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menggunakan kaedah reka dan bina.
Sekolah berkenaan dirancang mempunyai 42 bilik darjah dengan kapasiti sehingga 1,260 murid aliran perdana serta 105 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Kemudahan yang disediakan merangkumi blok pentadbiran, blok akademik, dua bengkel elektif, kantin, surau, dewan sekolah, blok PPKI yang menempatkan 15 bilik darjah, enam bengkel PPKI serta perabot, peralatan dan kelengkapan sekolah.
Tapak projek yang terletak di Lot 92684, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling itu mempunyai keluasan 48,560 meter persegi.



