SHAH ALAM, 15 JULAI: Polis membongkar kegiatan menjual permit kerja palsu dan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada warga asing yang didalangi lelaki warga Bangladesh.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata kegiatan lelaki berusia lingkungan 40-an itu terbongkar selepas polis menyerbu empat lokasi berasingan di sekitar Kulim pada 27 Jun lalu, lapor Berita Harian.
Beliau berkata serbuan itu membawa kepada penahanan 24 individu, terdiri daripada 19 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki Rohingya dan seorang wanita tempatan.
"Siasatan mendapati suspek berkahwin dengan seorang wanita tempatan berusia 69 tahun yang memiliki tiga syarikat iaitu kedai runcit, kedai komputer dan syarikat kontraktor.
"Ketiga-tiga syarikat itu dipercayai digunakan sebagai alasan bagi membolehkan suspek membuat permohonan membawa masuk pekerja asing," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.
Adzli berkata sindiket itu dipercayai mengumpulkan sebahagian warga asing di sebuah rumah sementara menunggu dokumen berkaitan disiapkan, sebelum mengenakan bayaran kira-kira RM4,000 bagi setiap individu.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati semua pasport yang dirampas adalah tulen, namun sebahagiannya bukan milik individu yang ditahan.
"Semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati pasport berkenaan mengandungi maklumat individu lain," katanya.
Menurutnya, polis turut merampas 40 pasport, 10 telefon bimbit, empat komputer riba dan satu permit kerja palsu dalam operasi berkenaan







